Durian kunyit

RENCANA UTAMA

Hanya ada di Gua Musang

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

Durian kunyit yang isinya kuning keemasan mampu mencecah harga hingga RM28 sekilogram.




--------------------------------------------------------------------------------


PERTAMA kali melawat ke sebuah dusun durian kunyit di Gua Musang, Kelantan, timbul tanda tanya apa istimewanya dusun tersebut berbanding dusun-dusun durian lain di seluruh negara.

Bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI, kami menyusuri jalan raya sejauh lebih 200 kilometer dari Kota Bharu menerusi Kuala Krai ke pekan Gua Musang.

Sehari sebelumnya, penulis telah membuat temu janji dengan pemilik dusun tersebut, Tina Chong, 40.

Pada hari yang dijanjikan kami diundang ke kediamannya sebelum dibawa ke dusunnya yang terletak di Kampung Pulai, lebih kurang 15 kilometer dari pekan Gua Musang. Ia mengambil masa hampir 45 minit.

Untuk ke dusunnya, kami terpaksa meredah kawasan yang dilitupi hutan hujan Khatulistiwa yang belum terusik kecuali beberapa projek kuari yang kelihatan rakus menarah bukit.

Perjalanan ke dusun tersebut sejauh lima kilometer dari jalan utama hanya boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Ini kerana laluannya begitu sukar dan mencabar apabila terpaksa melalui lereng-lereng bukit, jalan berbatu dan berlumpur.

Kami mengagumi kebolehan Tina kerana selain mengusahakan dusun durian, beliau begitu cekap mengendalikan kenderaan pacuan empat roda.

Detik paling mencabar ialah apabila kami terpaksa merentasi sebatang sungai yang hanya menggunakan dua batang kayu selebar tayar kenderaan tersebut yang dijadikan titi.


DURIAN kunyit memerlukan 100 hari untuk masak dan gugur selepas ia mula berputik.

--------------------------------------------------------------------------------


Setelah mengharungi perjalanan yang cukup mencabar, kami bagaikan tergamam dan teruja dengan keindahan dusun tersebut.

Selain keindahan buah-buah durian yang berjuntaian di dahan pokok, dusun tersebut begitu bersih dan dijaga rapi tanpa rumput dan lalang.

Tina yang sangat mesra mula bercerita tentang dusunnya yang berkeluasan 10 hektar itu. Kebanyakannya ditanam dengan durian kunyit.

Selain itu, dusun tersebut juga mempunyai pokok buah-buahan lain antaranya durian D24, durian kampung, rambutan, duku dan dokong.

"Saya menggemari buah durian sejak kecil dan pernah memasang impian untuk memiliki kebun durian sendiri suatu masa dulu.

"Pada mulanya kebun ini dimiliki oleh kakak saya tetapi 10 tahun lalu beliau menyatakan hasrat untuk menjual dusun tersebut dan saya tidak melepaskan peluang untuk memilikinya," kata Tina.

Dusunnya itu memiliki lebih 300 pokok durian kunyit. Buahnya boleh dijual pada harga yang sangat tinggi iaitu mencecah RM28 sekilogram.

Bersama adiknya Jenny Chong, 36, dan rakan kongsi mereka, Chong Wan Yoong, 46, hampir 90 peratus daripada hasil kebun itu terutama durian kunyit dieksport ke luar negara termasuklah Singapura.

Penjagaan yang rumit Jenny memberitahu, Wan Yoong, bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti penjagaan dusun tersebut. Penjagaan durian kunyit sangat rumit kerana ia terlalu sensitif terhadap cuaca selain proses pembajaan yang berterusan diperlukan.

Jelasnya, hujan lebat dan angin kuat boleh merencatkan proses tumbesaran pokok selain bunga yang terlalu lemah dan mudah gugur jika ditiup angin kencang.

"Sebab itu, durian ini bukan tiap-tiap tahun ada, memang susah untuk menjadi. Bila ia berbunga, masa itu kita kena jaga betul-betul kalau tidak bunganya akan gugur.

"Kadang-kadang kita tengok bunganya lebat tetapi jika hujan lebat atau angin kencang semua akan gugur. Proses pembajaan juga diperlukan untuk mengelak daripada ancaman penyakit," ujarnya musim durian kunyit bermula dari bulan Jun hingga Ogos.


JENNY CHONG (kiri), Chong Wan Yoong dan Tina mengusahakan dusun durian kunyit di Gua Musang sejak sedekad yang lalu.

--------------------------------------------------------------------------------


Jelas Tina, durian kunyit memerlukan 100 hari dari tempoh ia mula berputik untuk masak dan gugur. Buah yang baik boleh mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji.

Katanya, bermula daripada ia berputik, proses penjagaan rapi amat diperlukan kerana jika tidak buah akan gugur sebelum tempoh matangnya.

Seperti kebun-kebun lain, dusun juga tidak terlepas daripada ancaman binatang buas, sementelah ia berada jauh ke dalam hutan.

Jelas Tina, beliau terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menghalang binatang buas daripada menceroboh dusunnya dan memakan buah-buah yang gugur.

"Memang banyak, selalunya gajah, babi hutan dan harimau yang masuk. Kami biasa gunakan mercun untuk menghalau dan sekarang saya sedang membina pagar-pagar yang lebih kukuh untuk menghalang haiwan liar.

"Ketika musim durian kami adakalanya terpaksa tidur di dalam pondok di dusun untuk menjaga tanaman dan buah-buahan," kata bekas peragawati sambilan dan pendandan rambut profesional ini.

Bercerita mengenai keenakan durian kunyit Tina memberitahu, mungkin tidak ramai yang mengetahuinya kecuali jika disebut Musang King.

Durian tersebut dijual di pasar raya-pasar raya dipek dan dijual mengikut ulas.


SIAPA sangka, Tina sebelum ini merupakan seorang pendandan rambut profesional dan bekas peragawati sambilan.

--------------------------------------------------------------------------------


Kepada penggemarnya, harga bukan satu masalah tetapi adakalanya mungkin membuatkan kita terfikir, betulkah dua ulas durian Musang King harganya sampai RM15?

"Durian ini dikenali sebagai durian kunyit kerana warna isinya yang kekuningan seakan kunyit selain rasanya yang berbeza daripada durian biasa serta tekstur isinya.

"Saya difahamkan, Musang King adalah spesies yang sama dengan durian kunyit.

"Kononnya durian jenis ini hanya ada di Gua Musang manakala King pula merujuk pada 'gelaran' raja buah-buahan itu," ujar wanita yang masih bujang ini.

Tina memberitahu, dusunnya mampu mengeluarkan sehingga dua tan durian kunyit untuk tempoh tiga bulan setiap musim dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300,000," ujar Tina.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment